TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penuntut IPT ditahan himpit kereta polis, cuba lari bersama kekasih bawah umur di Jeli

By
|
Kongsi
image

 

JELI 2 Dis - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kekasihnya yang masih bersekolah ditahan polis selepas bertindak memandu secara berbahaya dan menghimpit kenderaan peronda polis dalam satu kejadian di Kampung Rabbana, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lelaki berusia lingkungan 20-an dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberkas selepas cuba melarikan diri ketika pemeriksaan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, kejadian bermula apabila sepasukan anggota dari unit peronda polis (MPV) mengesan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua individu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Sungai Rual.

"Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, kenderaan dipandu lelaki itu enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju.

"Polis mengejar kenderaan terbabit dan pemandu Perodua Myvi itu turut menghimpit kenderaan polis selain memandu dalam keadaan melulu sebelum kenderaan itu berjaya disekat di Kampung Rabbana.

"Pemandu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum ditahan. Pemeriksaan dalam kenderaan itu terdapat seorang perempuan dan semakan mendapati pemandu adalah pelajar sebuah IPT di Jeli, manakala perempuan itu pula masih bersekolah," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka dipercayai panik dengan kehadiran polis dan pemeriksaan lanjut mengesahkan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara berbahaya.

+ - reset