Berita Berita
Kewarganegaraan bukan diberi dengan mudah, JPN tegaskan proses ketat dan berlapis
KUALA LUMPUR 26 Jan - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada bukan warganegara dilaksanakan melalui proses ketat dan berlapis, bukan diberikan secara sewenang-wenangnya, demi menjaga kedaulatan serta kepentingan negara.
JPN menerusi satu kenyataan memaklumkan, setiap permohonan kewarganegaraan diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, dengan mengambil kira kepentingan nasional, keselamatan serta kesejahteraan warganegara sedia ada.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kebimbangan yang dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang menyentuh soal kedaulatan, keselamatan serta kepentingan rakyat.
Mengulas lanjut, JPN menjelaskan bahawa pada masa ini kawalan prosedur utama bagi permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) adalah berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan JIM.
"Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak," katanya.
MyPR ialah kad pengenalan yang dikeluarkan JPN kepada individu bukan warganegara yang diberikan status pemastautin tetap, sekali gus membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di Malaysia selepas memperoleh Permit Masuk daripada JIM.
Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.
Tambah JPN, selain tertakluk kepada Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang bersidang secara berkala, setiap permohonan turut diperhalusi secara terperinci bagi memastikan kesahihan serta kelayakan pemohon.
Katanya, status pemastautin tetap dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terbabit dalam sebarang kesalahan yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.
"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya.
"Setiap permohonan kewarganegraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.
"KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.
"Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada," katanya.
Berita berkaitan
February 2, 2026, 2:13 pm
Kes buli murid di Kulim terbongkar, dua remaja dikenal pasti polis Kedah
February 2, 2026, 2:06 pm
Pemuda UMNO tolak cadanga pilihan raya Datuk Bandar KL
February 2, 2026, 1:50 pm
Dua anggota MBPP cedera terkena letupan belon yang disita ketika operasi Thaipusam
February 2, 2026, 11:53 am
`Saya langsung tiada kaitan' - Anwar nafi sebarang kaitan dengan pertukaran emel kes Epstein
February 2, 2026, 11:29 am
'Report menteri terus' - Murid berani mengadu dibuli di sekolah pada Saifuddin, Ketua Polis Kedah
February 2, 2026, 10:27 am
Tiga balai bomba padam gudang kitar semula terbakar di Kuala Langat
February 1, 2026, 4:08 pm
‘Mok Su bedak sejuk’ meninggal dunia akibat langgar lari
February 1, 2026, 4:02 pm
Dividen KWSP bukan isu populis, rakyat sedang berjuang untuk hidup – PGIRM
February 1, 2026, 3:57 pm
