TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Beta dah penat ingatkan banyak kali kepada PBT' - Sultan Selangor dukacita kawasan Klang kotor

By
|
Kongsi
image

KLANG 6 Dis - Tahap kebersihan yang rendah di Bandaraya Diraja Klang menimbulkan rasa dukacita terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda menerima rungutan daripada orang ramai terutama pelancong termasuk pelancong kapal persiaran yang masuk melalui Pelabuhan Klang yang menyatakan pemandangan di Pelabuhan Klang dan Bandaraya Diraja Klang begitu tercemar dengan sampah sarap dan amat menjijikan.

"Di dalam kita berbangga melihat nilai-nilai sejarah yang tersendiri di Bandaraya Diraja Klang, di samping pembangunan yang pesat, beta melihat terdapat banyak kawasan di Bandaraya Diraja Klang ini yang masih kotor dan tidak teratur termasuk sungai yang dicemari teruk dengan sampah sarap.

"Tidak guna kita berbangga dengan pencapaian pembangunan yang pesat jika perkara asas berkaitan kebersihan pun kita gagal laksanakan dan mengatasinya," titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Cina Muslim Klang, hari ini. 

Sultan Selangor menegaskan, akibat daripada keadaan sungai dipenuhi sampah-sarap, longkang tersumbat yang tidak dijaga rapi mengakibatkan banjir sering berlaku di Klang. 

Titah baginda, walaupun sudah berkali-kali ditegur dan dinasihatkan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah efektif dan perancangan rapi dalam mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Klang serta beberapa daerah lain, ia masih tetap berlaku berulang-kali setiap tahun malah kadang-kadang menjadi semakin teruk. 

"Takkanlah kita nak gunakan alasan banjir berlaku disebabkan 'climate change' atau tahap penurunan hujan yang tinggi dan luar biasa akibat dari 'act of God'.

"Beta sudah penat untuk mengingatkan masalah ini kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan setiap tahun, namun semuanya tidak diambil peduli umpama 'mencurah air di daun keladi'.

"Kenapa masalah ini tidak dapat kita selesaikan? Tidakkah kerajaan negeri mahu memikirkan kesusahan rakyat di luar sana yang terpaksa mengharungi penderitaan ketika banjir dengan berhadapan kerosakan harta benda, nyawa dan keselamatan yang terancam serta kesusahan untuk melaksanakan tugas seharian.

"Beta percaya 'nothing is impossible' dan tiada masalah dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan jika sekiranya kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita," titah baginda. 

Sultan Sharafuddin turut melahirkan rasa sedih atas penderitaan rakyat dan dapat menyelami derita mereka akibat banjir yang sering melanda saban tahun.

"Beta difahamkan jutaan ringgit peruntukan dikhaskan bagi mengatasi masalah banjir untuk jangka pendek dan jangka panjang, namun seolah-olah tiada hasilnya langsung. 

"Beta ingin menegaskan, jika kontraktor yang diberikan tanggungjawab bagi melaksanakan projek untuk mengatasi masalah banjir ini gagal melaksanakan amanah diberikan dengan berkesan, kerajaan beta seharusnya melantik kontraktor lain yang lebih berwibawa dan mampu untuk mengatasi masalah banjir ini.

"Tidakkah kita mahu belajar dari kesilapan lalu terutama bencana banjir pada Disember 2021 lalu yang hampir melumpuhkan sebahagian daerah di negeri Selangor dan cuba memperbaikinya dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

"Justeru itu, beta menitahkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan kerajaan negeri untuk mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir di negeri Selangor ini," titah Sultan Selangor.

+ - reset