TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita pukul kepala anak hingga cedera depan pasar raya direman hingga Ahad

By
|
Kongsi
image

 

ARAU 11 Feb - Wanita yang didakwa memukul dan mencederakan anaknya di sebuah koridor hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini direman enam hari hingga Ahad ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 9.33 pagi ini.

Suspek yang bekerja sebagai pekerja kantin berusia 38 tahun itu sebelum itu ditahan di sebuah bilik sewa sebuah rumah di Mata Ayer sekitar jam 11.30 malam, semalam.

Penahanan suspek adalah berikutan tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya berkenaan yang menunjukkan suspek beberapa kali menampar anaknya sehingga cedera selepas tersungkur dan mengenai bucu bangku yang terdapat di hadapan pasar raya itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam, Ahad lalu.

"Kita kemudian menerima satu laporan daripada orang awam sekitar jam 12.16 pagi ini berhubung perlakuan wanita berkenaan dirakam oleh CCTV berhampiran pasar raya itu yang kemudiannya tular di media sosial sejak semalam.

"Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah. 

"Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Beliau berkata, anak mangsa berusia lima tahun mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan dan sudah pun menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.

"Selain mangsa, suspek mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, kanak-kanak malang itu kini difahamkan sudah pun diselamatkan dan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Semalam, tular satu video di media sosial berdurasi 47 saat yang memaparkan seorang wanita melempiaskan kemarahannya terhadap seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau.

Wanita itu merentap tangan kanak-kanak malang itu dan menampar anaknya tiga kali termasuk di kepala.

Tindakan itu bagaimanapun membawa padah apabila anaknya itu terjatuh sehingga menyebabkan kepalanya tercedera kerana terkena pada bucu bangku yang berada di hadapan pasar raya itu.

+ - reset