TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas paling ramai kena tipu dalam penipuan pelaburan kripto, kerugian cecah RM123 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU 17 Mac – Kes penipuan pelaburan tidak wujud, khususnya membabitkan skim mata wang digital dan kripto, semakin membimbangkan dengan jumlah kerugian mencecah puluhan juta ringgit sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada keseluruhan kerugian lebih RM123.64 juta sejak awal tahun ini berpunca daripada skim pelaburan mata wang kripto palsu.

"Ramai yang mudah terpedaya dengan janji pulangan lumayan, sehingga sanggup menyerahkan wang berjuta kepada sindiket untuk melabur bagi pihak mereka, sedangkan ia sebenarnya tidak dilaburkan.

"Paparan keuntungan yang digandakan di skrin hanyalah muslihat. Bayangkan, melabur RM4 juta kononnya boleh mendapat RM126 juta – ini tidak masuk akal, tetapi masih ramai yang percaya," katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ramli, lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa sebahagian besar mangsa terdiri daripada golongan pesara yang mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

Salah satu kes yang pernah diterima melibatkan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor, yang mengalami kerugian puluhan juta akibat terjebak dalam skim pelaburan kripto tidak wujud.

"Warga emas perlu berhati-hati dan tidak mudah teruja untuk melabur dalam mata wang kripto. Ada yang sanggup menggunakan simpanan dan membuat pinjaman kerana percaya akan mendapat keuntungan besar.

"Ini semua adalah penipuan. Ia bukan sahaja menyebabkan kerugian wang ringgit, malah memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mangsa, terutama warga emas, yang akhirnya hidup dalam tekanan," katanya.

+ - reset