TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ periksa lebih 500 bas ekspres balik kampung Aidilfitri ini - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN, 24 Mac – Sebanyak lebih 500 bas ekspres telah diperiksa dalam Pra-Operasi Khas sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dijalankan bermula 17 Mac hingga semalam.

Pemeriksaan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan keselamatan kenderaan perkhidmatan awam, terutamanya bas, menjelang musim perayaan yang semakin hampir.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata operasi ini bertujuan untuk memeriksa aspek teknikal kenderaan seperti enjin, tayar, dan sistem brek di terminal dan depoh bas di seluruh negara.

Langkah proaktif ini diambil sebelum Operasi HRA 2025 yang akan bermula esok hingga 8 April 2025.

"Pra-Operasi HRA ini dijalankan dengan memeriksa kenderaan perkhidmatan awam, khususnya bas, di seluruh negara. Pemeriksaan ini termasuk aspek teknikal seperti enjin, tayar, dan sistem brek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santuni MADANI dan berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat Taman Kampung Panchor di sini.

Loke turut memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan JPJ mendapati 11 bas tidak memenuhi piawaian keselamatan dan dikenakan notis larangan penggunaan serta-merta.

Bagi bas yang memenuhi standard keselamatan, JPJ telah mengeluarkan slip pemeriksaan sebagai tanda kelulusan.

Pada program tersebut, Loke juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Masjid Al-Munawwarah Kariah Panchor Jaya, Kampung Panchor.

Beliau menambah, sepanjang musim perayaan, sebanyak 2,500 anggota JPJ akan bertugas, dengan penempatan di kawasan hotspot kemalangan.

Selain itu, kereta peronda JPJ akan berada di lebuh raya bagi memastikan pemandu lebih berhati-hati dan meningkatkan persepsi bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan di lapangan.

"Antara kesalahan utama yang akan dikesan termasuk menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju, serta kesalahan melibatkan kenderaan berat yang menghalang lorong laju atau membawa muatan berlebihan," katanya.

Pemeriksaan ini diharap dapat memastikan keselamatan perjalanan orang ramai semasa musim perayaan dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

+ - reset