Berita Berita
KPM siasat dakwaan cikgu suruh pelajar ‘pulang ke China’ sebab tak fasih cakap Melayu
PUTRAJAYA 24 Mac – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan seorang guru yang dikatakan mengarahkan pelajarnya "pulang ke China" kerana kurang fasih berbahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan perkauman di sekolah, sama ada melibatkan guru, pelajar, atau pegawai kementerian.
"Kami sedang meneliti perkara ini dengan mendalam, dan siasatan turut dijalankan oleh pihak polis. Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada 320 murid sekolah rendah sekitar Putrajaya di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu klip audio yang didakwa memaparkan pengakuan seorang guru sekolah menengah yang menyuruh pelajarnya pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu. Dalam klip itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai saudara pelajar terbabit bertanya kepada guru berkenaan mengenai insiden tersebut, dan guru itu dikatakan mengaku berbuat demikian.
KPM Pantau Sekolah Terjejas Banjir
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM sedang mengumpulkan maklumat mengenai sekolah yang terkesan akibat banjir bagi menyelaras usaha pembaikan dengan segera.
"Kami akan memastikan sekolah-sekolah yang terjejas mendapat bantuan penyelenggaraan agar persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat dikekalkan untuk para pelajar," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM26.4 juta untuk membaik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak yang mengalami kerosakan akibat banjir pada Disember hingga Januari lalu.
Pada majlis tersebut, Fadhlina menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 320 murid bagi meringankan beban keluarga mereka dalam persiapan menyambut Aidilfitri. Setiap murid menerima kad hadiah atau baucar membeli-belah bernilai RM100 serta pek sagu hati sumbangan syarikat swasta yang diselaraskan oleh Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.
Berita berkaitan
June 8, 2026, 8:35 am
Anwar tolak kenaikan harga minyak, enggan rakyat terbeban
June 7, 2026, 11:14 pm
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
June 7, 2026, 9:03 pm
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
June 7, 2026, 6:51 pm
SPRM kesan penyelewengan lebih RM9 juta libat program Daya Kerjaya 2.0
June 7, 2026, 4:43 pm
