TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Adam Adli, Ketua PKR Johor nyatakan sokongan kepada Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 7 Mei - Ketua Pemuda PKR, Adam Adli Abdul Halim, menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti pada 23 Mei ini.

Menurut Adam, Nurul Izzah bukan sahaja seorang yang berprinsip dan berwibawa, malah mampu meniupkan semangat reformasi kepada generasi baharu. Beliau menyifatkan penyertaan Nurul Izzah sebagai satu langkah strategik yang penting untuk memperkukuh barisan kepimpinan masa depan parti.

“Ini bukan soal individu semata-mata, tetapi langkah strategik memperkukuh kepimpinan masa depan. Dalam suasana politik yang kompleks, Izzah muncul sebagai sosok yang mampu menjangkaui pelbagai latar belakang, menyatukan semangat perjuangan baharu,” katanya dalam kenyataan media.

Sokongan terhadap Nurul Izzah turut disuarakan oleh 22 daripada 26 ketua cabang PKR Johor. Antara yang menyatakan sokongan ialah Khairil Adanan (Mersing), Ysahruddin Kusni (Bakri), Haniff Ghazali (Pontian), Faizul Abd Ghani (Pengerang), Kalytas Chandrahasan (Kluang), Hisyamuddin Ishak (Parit Sulong), Shahrun Radzi (Sembrong), Ibrahim Mohd Nor (Kota Tinggi), Roselin Nona (Muar), Sayful Ariffin (Tanjung Piai), dan Ravi Shankar (Labis).

Turut serta memberi sokongan ialah Shamala Vasudevan (Segamat), Fakharuddin Moslem (Tenggara), Subramani Chami (Pagoh), Rosman Tahir (Ayer Hitam), Faezudin Puad (Pulai), Arthur Chiong Sen Sern (Kulai), Shamala Devi (Iskandar Puteri), Pang See Keong (Sekijang), Murad Jailani (Pasir Gudang), Prakash Maniam (Tebrau) dan Saad Salleh (Sri Gading).

Ketua Cabang PKR Mersing, Khairil Adanan, menegaskan bahawa Nurul Izzah mempunyai kredibiliti tersendiri dan tidak bergantung kepada pengaruh nama bapanya, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Nurul Izzah bukan hanya dikenali sebagai anak kepada Anwar Ibrahim. Beliau adalah pemimpin beridentiti sendiri dengan rekod perjuangan yang konsisten dan matang. Dari awal penglibatannya dalam politik, beliau menunjukkan ketokohan yang dihormati,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang tiga penggal sebagai Ahli Parlimen, Nurul Izzah telah giat memperjuangkan isu pendidikan, hak wanita, kebebasan bersuara serta membela komuniti terpinggir, meletakkan dirinya sebagai tokoh yang dihormati atas merit.

“Kepimpinan beliau sebagai timbalan presiden diyakini akan membawa visi segar dan progresif untuk PKR,” katanya lagi.

Selain Johor, sokongan turut diterima daripada ketua-ketua PKR di negeri lain seperti Selangor, Perak, Melaka dan Pahang, memperkukuh desakan agar Nurul Izzah menawarkan diri untuk jawatan nombor dua parti. - Media Telus

+ - reset