Berita Berita
Mahkamah tolak rayuan mualaf mahu kembali kepada agama asal
PUTRAJAYA, 16 Mei – Seorang mualaf gagal dalam rayuannya untuk meninggalkan agama Islam dan kembali kepada kepercayaan asalnya, Kristian, selepas Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa rayuan tersebut tidak mempunyai merit.
Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim M Nantha Balan, bersama Hakim Datuk Nazlan Ghazali dan Hakim Datuk Azmi Ariffin.
Lelaki berusia 47 tahun itu memeluk Islam pada 2010 bagi tujuan perkahwinan dengan seorang wanita Muslim. Namun, selepas perceraian mereka lima tahun kemudian, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah pada 2016 untuk keluar daripada Islam, tetapi diarahkan menghadiri beberapa siri sesi kaunseling.
Mahkamah Syariah kemudiannya menolak permohonannya dan memerintahkan sesi kaunseling diteruskan.
Rayuan lelaki itu di Mahkamah Rayuan Syariah juga ditolak.
Beliau seterusnya mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi sivil, memohon pembatalan keputusan Mahkamah Syariah dan perisytiharan bahawa beliau berhak kembali kepada agama asal.
Namun, permohonan itu turut ditolak pada 2023.
Membacakan penghakiman, Hakim Nazlan menegaskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam kes berkaitan permohonan murtad yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
“Ini bukan kes dia tidak pernah menjadi Muslim tetapi meninggalkan (Islam). Kami menegaskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar kes-kes ini dan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan,” katanya.
Nazlan turut menyatakan bahawa Mahkamah Syariah menolak permohonan lelaki itu kerana bukti yang dikemukakan tidak mencukupi dan menambah bahawa pemohon masih boleh memfailkan permohonan semula di Mahkamah Syariah.
“Dia boleh memohon semula di Mahkamah Syariah,” katanya, sambil memaklumkan bahawa terdapat kes yang berjaya dalam konteks serupa.
Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos dalam kes ini.
Lelaki berkenaan diwakili oleh peguam Iqbal Harith Liang dan Firdaus Danial Tan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Idayu Amir mewakili pihak kerajaan.
Berita berkaitan
June 18, 2026, 7:39 am
Faiz Na'aman dakwa Muhyiddin 'ditikam' individu yang diberi laluan mudah
June 18, 2026, 6:57 am
Wan Ahmad Fayhsal kecewa Muhyiddin gagal urus konflik, dakwa BERSATU di ambang kehancuran
June 17, 2026, 7:59 pm
Harga diesel turun 30 sen kepada RM4.37 seliter mulai esok
June 17, 2026, 7:46 pm
Pekerja maut dipercayai tersedut dalam tangki air ketika kerja penyelenggaraan
June 17, 2026, 6:09 pm
TDM henti serta-merta latihan baling grenad susulan insiden korban dua anggota
June 17, 2026, 5:50 pm
RTM mohon maaf siaran Perancis-Senegal di RTMKlik terganggu
June 17, 2026, 1:27 pm
Budak empat tahun maut selepas rebah di taman tema air di Sungai Buloh
June 17, 2026, 1:10 pm
