Berita Berita
HRD Corp terus perkasa bakat OKU serantau melalui NTW 2025

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Usaha memperkasa penyertaan orang kelainan upaya (OKU) dalam tenaga kerja diteruskan apabila Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menganjurkan forum serantau bertemakan ASEAN: Empowering Persons with Disabilities, Elevating the Workforce bersempena Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week - NTW) 2025 baru-baru ini.
Forum yang berlangsung di Berjaya Times Square itu menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan aktivis OKU bagi mengetengahkan amalan pekerjaan inklusif dan memperkukuh akses peluang pekerjaan yang saksama.
Acara ini dirasmikan Penasihat Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, Datuk Wira Shahul Dawood dan dihadiri Ketua Pegawai Program HRD Corp merangkap Pengerusi NTW 2025, Soffian Amin serta Ketua Operasi Wilayah HRD Corp, Hafez Kamaruddin.
Sesi panel pada forum itu menampilkan tokoh-tokoh terkemuka dalam komuniti OKU yang berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka termasuk Datuk Satinah Syed Saleh, Dr. Ruzita Mohd Amin, Senator (B) Datuk Dr. Ras Adiba Radzi dan Nori Abdullah.
Setiap panel menekankan bahawa kepelbagaian bukan hanya tuntutan moral, malah suatu kelebihan ekonomi, selain menyeru pendekatan pelbagai sektor bagi memperkukuh inklusiviti.
Selain forum utama, pelbagai sesi pocket talk turut diadakan bagi mengetengahkan topik berkaitan pemerkasaan OKU di tempat kerja.
Antara sesi tersebut termasuk OKU Entrepreneurship Programme, inisiatif PERKESO untuk OKU, Neurodiversity at Work: Insights and Learnings serta Dialogue in the Dark oleh Pengasas DIA Academy, Steven Chan.
Anis Adillah pula berkongsi perjalanan peribadinya dalam sesi bertajuk RnR Diri yang menekankan aspek ketahanan diri dan pemerkasaan peribadi.
Bagi memperkukuh impak forum, HRD Corp dengan kerjasama PERKESO dan MyFutureJobs turut menganjurkan pameran pekerjaan dan sesi temu duga terbuka untuk pencari kerja OKU melibatkan syarikat seperti AEON Co. (M) Berhad, Bila-Bila Mart, Always Sdn Bhd, Hotel Marriott dan Genashtim Sdn Bhd.
Forum ini juga menjadi sebahagian daripada Track OKU NTW 2025 yang menawarkan peluang latihan percuma dan program kesedaran yang direka khusus untuk majikan dan masyarakat umum.
HRD Corp menawarkan tiga sesi latihan serentak secara percuma kepada peserta OKU meliputi latihan CSI (Kognitif dan Gangguan Sosial), latihan penulisan perniagaan untuk OKU dan program keusahawanan oleh MyOKU.
Sebagai platform utama kedua di bawah AYOS 2025, NTW 2025 turut diperluaskan ke peringkat serantau dengan membuka akses portal NTW kepada seluruh negara ASEAN, sekali gus menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan bakat serantau.
Walaupun kempen selama seminggu itu telah berakhir pada 21 Jun lalu, rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN masih boleh mengakses pelbagai kursus percuma sepanjang tahun ini menerusi portal NTW di https://www.nationaltrainingweek.gov.my/ dan maklumat lanjut mengenai AYOS 2025 boleh didapati di https://aseanyearofskills.org/.
#hrdcorp #mediatelus
Berita berkaitan
September 6, 2025, 1:32 pm
Mindef hantar pasukan nilai pembelian F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait
September 6, 2025, 1:26 pm
Polis siasat pematuhan SOP anggota, pegawai melibatkan kes kehilangan barang di inap desa Kajang
September 6, 2025, 1:21 pm
Lapan restoran di Kuala Lumpur diarah tutup akibat kotor
September 6, 2025, 12:30 pm
Tukang jahit rugi lebih RM100,000 akibat tipu bomoh maya
September 6, 2025, 10:35 am
Pelaksanaan SARA catat jualan lebih RM107 juta pada hari keenam
September 6, 2025, 10:17 am
Chegubard ditahan polis berhubung ceramah politik
September 5, 2025, 11:21 pm
Pendakwah mualaf Kedah terima Anugerah Khas Maulidur Rasul
September 5, 2025, 10:06 pm
Tak beri muka peniaga degil, DBKL sita skuter, mainan halang laluan di Chow Kit
September 5, 2025, 9:51 pm
Warga asing tinggal lebih masa bawah 90 hari akan dikompaun serta-merta
September 5, 2025, 9:26 pm