TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek kes tembak perut wanita sarat hamil hingga maut di Pasir Mas dicekup selepas 3 tahun diburu

By
|
Kongsi
image

 

PASIR MAS 24 Julai - Selepas hampir tiga tahun menjadi buruan pihak berkuasa, seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang wanita hamil tujuh bulan di Kampung Repek pada Jun 2022 akhirnya berjaya diberkas polis.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi di Kampung Bukit Lata, kira-kira jam 7 malam semalam. Turut ditahan ialah seorang rakan lelaki yang juga berusia 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata tangkapan dilakukan selepas polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan kedua-dua lelaki terbabit.

“Salah seorang daripada mereka adalah suspek yang diburu berhubung kes tembakan terhadap wanita hamil pada tahun 2022. Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin,” katanya ketika dihubungi.

Suspek utama yang berasal dari Kampung Pak Jak kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. Perintah reman sehingga Rabu depan dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian yang menggemparkan itu, mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, seorang peniaga, ditemukan mati dengan kesan tembakan di bahagian perut dalam kereta jenis Nissan Cefiro miliknya yang diletakkan di tepi jalan di Kampung Repek.

Mangsa yang sedang hamil tujuh bulan ketika itu ditemui terbaring di tempat duduk pemandu, manakala bayi dalam kandungannya turut disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

Sebelum ini, salah seorang bekas suami mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

+ - reset