TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia akan teliti deklarasi PBB desak Hamas letak senjata – Fahmi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 1 Ogos – Malaysia akan meneliti terlebih dahulu dokumen deklarasi dikeluarkan susulan mesyuarat khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Gaza.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas Malaysia diminta menyatakan pendirian terhadap deklarasi berkenaan.

“Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, telah memberi taklimat berhubung hasil koordinasi antara Arab Saudi dan Perancis. Wakil tetap Malaysia ke PBB diminta meneliti dan menandatangani kenyataan bersama itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia tidak berubah, iaitu negara Palestin mempunyai hak untuk wujud, dan Malaysia tidak terburu-buru membuat keputusan sebelum dokumen tersebut diteliti sepenuhnya oleh Wisma Putra.

“Kita beri sedikit masa kepada Wisma Putra untuk membuat penelitian sepenuhnya terhadap dokumen itu,” jelas Fahmi.

Beliau mengulas laporan bahawa Qatar, Arab Saudi dan Mesir antara 17 negara, termasuk Britain, Perancis dan Kanada, telah menandatangani deklarasi yang mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan menggesa pembebasan semua tebusan.

Deklarasi tersebut juga menyeru Hamas menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai sebahagian usaha ke arah penyelesaian dua negara.

Tambah Fahmi, Kabinet turut meminta Menteri Luar membentangkan Kenyataan Menteri berhubung perkara itu di Dewan Rakyat minggu hadapan, berkemungkinan antara Isnin hingga Rabu, bagi menjelaskan pendirian Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Namun buat masa ini, pendirian kerajaan adalah jelas – kita tidak berganjak daripada menyokong kewujudan negara Palestin,” katanya. - Media Telus

+ - reset