Berita Berita
Tarif air di Selangor, KL, Putrajaya naik bermula 1 September, kadar naik RM0.30 hingga RM0.88 seunit

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pengguna air domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal berdepan penyelarasan tarif baharu bermula 1 September ini, membabitkan peningkatan kadar antara RM0.30 hingga RM0.88 setiap meter padu (m³) bergantung kepada jumlah penggunaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelarasan tarif itu diluluskan oleh Jemaah Menteri dan diselaraskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dengan pelaksanaan oleh Air Selangor yang membabitkan lebih 2.77 juta akaun pengguna.
Menurut beliau, pengguna domestik yang menggunakan air antara 20 hingga 35 m³ sebulan akan dikenakan kadar baharu RM1.62 per m³, meningkat RM0.30 daripada kadar semasa. Bagi penggunaan melebihi 35 m³ pula, kadar baharu adalah RM3.51 per m³, iaitu peningkatan sebanyak RM0.88.
Namun begitu, tiada perubahan dikenakan terhadap pengguna yang menggunakan air tidak melebihi 20 m³ sebulan. Kadar semasa RM0.65 per m³ dan caj minimum bulanan RM6.50 dikekalkan.
Bagi rumah kos rendah, peningkatan tarif adalah paling minimum iaitu hanya RM0.10, menjadikan kadar baharu RM1.18 per m³.
Sementara itu, pengguna bukan domestik seperti premis komersial pula dikenakan kadar baharu RM3.51 bagi penggunaan di bawah 35 m³, dan RM3.83 bagi penggunaan melebihi 35 m³.
Rumah ibadat dan institusi kebajikan yang berdaftar pula akan dikenakan kadar RM0.76 per m³, hanya meningkat RM0.10 bagi memastikan operasi mereka tidak terjejas.
Dalam kenyataannya, Amirudin turut memaklumkan kategori industri perkapalan akan dikenakan tarif baharu RM8.01 per m³.
Sebuah kategori baharu turut diperkenalkan khusus untuk pusat data yang menggunakan air dalam jumlah besar bagi sistem penyejukan, dengan kadar RM5.31 per m³.
Menurut Amirudin, pelarasan ini penting bagi memastikan bekalan air kekal mampan dan sistem penyampaian perkhidmatan air dapat ditambah baik dari semasa ke semasa. Sejak pelarasan terakhir, Air Selangor mencatat peningkatan rizab margin air daripada 13.86 peratus pada Februari tahun lalu kepada 16.74 peratus pada Jun 2025. Kadar air tidak berhasil (NRW) juga berjaya dikurangkan daripada 27.7 kepada 27.3 peratus.
Air Selangor juga kini sedang melaksanakan projek penggantian paip asbestos berusia lebih 40 tahun sejauh 1,600 kilometer menjelang 2030, dengan kadar penggantian 300 kilometer setahun bermula tahun ini.
Dua Loji Rawatan Air baharu turut dibina di Rasau dan Labohan Dagang 2 dengan kapasiti tambahan sebanyak 2,730 juta liter sehari, melibatkan kos melebihi RM8 bilion.
Untuk meringankan beban rakyat, kerajaan negeri akan terus menyalurkan air percuma bernilai RM13 sebulan kepada lebih 1.3 juta penduduk menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE), melibatkan 337,851 akaun pengguna.
Had pendapatan isi rumah untuk kelayakan SADE juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.
Kerajaan negeri turut akan menanggung peningkatan caj bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan dengan kos anggaran RM100,000 setahun.
Jumlah keseluruhan peruntukan subsidi bagi memastikan kenaikan tarif tidak membebankan golongan memerlukan dianggarkan sebanyak RM52.7 juta.
Permohonan bagi SADE boleh dibuat mulai 8 Ogos 2025 menerusi laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com. - Media Telus
Berita berkaitan
August 2, 2025, 8:51 am
Polis nafi dakwaan ahli keluarga VIP terlibat kematian Zara Qairina
August 2, 2025, 8:39 am
Tiga warga Bangladesh maut, dua cedera MPV terbabas di LPT1
August 1, 2025, 10:22 pm
Dakwa KPM cuai, keluarga pelajar lemas di SSTMI ambil tindakan undang-undang tuntut keadilan
August 1, 2025, 10:05 pm
Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 Bilion, tarif AS dikurangkan
August 1, 2025, 6:46 pm
Mayat dijerut tali, kaki dan tangan diikat ditemui berhampiran landasan kereta api
August 1, 2025, 6:27 pm
UTM serah siasatan kematian kadet Palapes kepada pihak berkuasa
August 1, 2025, 6:18 pm