TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dakwa KPM cuai, keluarga pelajar lemas di SSTMI ambil tindakan undang-undang tuntut keadilan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 1 Ogos – Keluarga kepada Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful, 16, yang maut akibat lemas di kolam renang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, pada November tahun lalu, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak berkaitan bagi menuntut keadilan atas tragedi tersebut.

Peguam keluarga, Hafiz Norkhan, memaklumkan bahawa satu surat tuntutan (Letter of Demand) akan dihantar secara fizikal kepada pihak terbabit pada Khamis minggu hadapan.

“Tuntutan ini menamakan lima defendan, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak pengurusan SSTMI,” katanya dalam sidang media di kediaman keluarga arwah di Kota Kemuning, hari ini.

Menurut Hafiz, tuntutan utama difokuskan terhadap dakwaan kecuaian dalam memastikan keselamatan pelajar, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti kolam renang terjun sedalam lima meter.

“Kami menyatakan kecuaian dari segi pematuhan spesifikasi keselamatan dan kegagalan pengawasan yang sepatutnya diberikan oleh pihak sekolah serta kementerian,” katanya lagi.

Insiden lemas yang meragut nyawa Zulfan berlaku pada 25 November 2024, ketika beliau didakwa sedang menjalani sesi latihan pemulihan selepas latihan bola sepak di kolam renang terjun SSTMI.

Bagaimanapun, menurut peguam, keluarga mangsa masih belum menerima sebarang makluman atau penjelasan lengkap mengenai prosedur atau kronologi sebenar kejadian selepas lapan bulan berlalu.

“Kami telah menghantar surat enkuiri kepada kementerian beberapa bulan lalu, namun tiada respons terperinci. Kini, sudah tiba masanya untuk tindakan sivil dimulakan,” tegas Hafiz.

Bapa arwah, Zaiful Ibrahim, 53, sebelum ini telah membuat laporan polis pada 6 April 2025, mendakwa terdapat kecuaian yang menyebabkan kematian anaknya semasa di kolam renang SSTMI.

Isu ini turut dibangkitkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dalam sesi perbahasan di Parlimen minggu ini, yang menuntut perhatian serius terhadap aspek SOP dan keselamatan di sekolah berasrama penuh serta sekolah sukan.

 

+ - reset