TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia setuju beli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 Bilion, tarif AS dikurangkan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Malaysia bersetuju untuk membeli 30 pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$9.5 bilion sebagai sebahagian daripada komitmen perdagangan yang turut membawa kepada pengurangan tarif import AS ke atas barangan Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang menyifatkan pembelian tersebut sebagai hasil rundingan strategik antara kedua-dua negara.

“Kita telah membuat beberapa komitmen berkaitan pertimbangan komersial, salah satunya ialah pembelian pesawat Boeing.

Pembelian 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion untuk fasa pertama dan 30 pesawat lagi pada nilai sama bagi fasa kedua,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pembelian itu merupakan sebahagian daripada rundingan yang menyaksikan pengurangan tarif AS ke atas barangan import Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Perubahan itu dijangka memberi impak positif kepada eksport negara, khususnya sektor elektrik dan elektronik serta komponen automotif.

“Keputusan ini tidak hanya berdasarkan hubungan dua hala, tetapi juga pertimbangan komersial serta keperluan jangka panjang industri penerbangan negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia telah menerima kelulusan Jemaah Menteri pada 25 Julai 2025 untuk mengemukakan “tawaran terbaik terakhir” kepada pihak AS, bagi pertimbangan Presiden Donald Trump.

Tengku Zafrul turut mendedahkan bahawa peranan Malaysia sebagai pendamai dalam konflik Kemboja–Thailandturut menyumbang kepada keyakinan Washington terhadap Malaysia dalam rundingan tersebut.

“Ini adalah langkah strategik untuk memastikan Malaysia terus dilihat sebagai rakan dagang utama yang stabil dan boleh dipercayai oleh ekonomi besar seperti Amerika Syarikat,” jelas beliau.

Susulan persetujuan tersebut, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dijadualkan akan mengeluarkan satu kenyataan bersama pada Sabtu atau Ahad, bagi memperincikan butiran pengurangan tarif dan pelaksanaan perjanjian perdagangan dua hala yang baharu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu mengesahkan bahawa Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan untuk 30 unit pesawat Boeing 737, yang dijangka dihantar secara berperingkat sehingga tahun 2030.

Perolehan itu akan menyokong perkembangan industri penerbangan negara yang kini kembali rancak selepas pandemik COVID-19.

 

+ - reset