TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat pelatih PALAPES UTM meninggal dunia ketika latihan, mohon orang ramai henti buat spekulasi

By
|
Kongsi
image

 

 

KOTA TINGGI, 1 Ogos – Seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelatih terbabit.

“Siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan kira-kira jam 2.30 petang ketika menjalani latihan. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), namun disahkan meninggal dunia di zon kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima laporan kematian itu pada jam 5.33 petang hari yang sama dan mengklasifikasikan kes sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk bedah siasat. Setakat ini, tiada kecederaan unsur jenayah ditemui, namun pihak polis masih menunggu keputusan makmal bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Polis telah merakam percakapan saksi dan pegawai perubatan yang terlibat. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” tambah Yusof.

Ibu Tuntut Penjelasan Lengkap, Dakwa Kesan Kecederaan Pada Jenazah

Dalam perkembangan berkaitan, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut siasatan telus dan menyeluruh berhubung kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang menurutnya meninggal dunia dalam keadaan yang meragukan.

“Kami diberitahu anak saya mengalami sawan, tetapi semasa bedah siasat, saya lihat terdapat kesan kecederaan teruk pada tubuhnya yang tidak selari dengan maklumat itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kajang.

Ibu tunggal itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam bagi mendesak siasatan menyeluruh dijalankan terhadap semua pihak terlibat, termasuk pihak pengurusan latihan PALAPES.

Difahamkan, Syamsul Haris baru sahaja menyertai latihan PALAPES bermula Sabtu lalu dan dijadualkan selesai pada Ahad ini. Beliau merupakan pelajar Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM dan anak sulung daripada tiga beradik.

Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

 

+ - reset