TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tentera darat kaji semula prosedur latihan susulan kematian kadet Palapes UTM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Tentera Darat akan meneliti semula prosedur latihan bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki aspek keselamatan susulan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, 22, pada 28 Julai lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya kesal dengan insiden yang berlaku dan komited untuk mengambil langkah perlu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kami akan meneliti prosedur latihan untuk mengenal pasti sebarang kelemahan dan ruang penambahbaikan. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam semua latihan,” katanya kepada New Straits Times.

Syamsul Haris meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, mempersoalkan punca kematian anaknya yang didakwa tidak jelas, mendakwa pemerhatiannya semasa proses bedah siasat menunjukkan kecederaan serius pada tubuh mangsa yang tidak konsisten dengan penjelasan awal bahawa kematian disebabkan sawan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Sabtu lalu memaklumkan satu pasukan khas yang dianggotai wakil tiga kementerian – Pertahanan, Dalam Negeri dan Pendidikan Tinggi – ditubuhkan untuk menyiasat kes tersebut.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi mengenal pasti punca kematian Syamsul.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, sebelum ini memaklumkan pihak polis turut menjalankan siasatan.

Syamsul menyertai latihan Palapes UTM pada 26 Julai dan ibunya menerima panggilan dua hari kemudian memaklumkan bahawa anaknya telah meninggal dunia. Jenazahnya telah selamat dikebumikan. – Media Telus

+ - reset