TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lima anggota tentera dikejarkan ke hospital akibat strok haba ketika latihan medan di Perak

By
|
Kongsi
image

 

IPOH, 4 Ogos – Seramai lima anggota tentera dilaporkan mengalami strok haba ketika menyertai latihan ketenteraan Eksesais Keris Strike 2025 di kawasan hutan Sungai Siput dan Sauk, Kuala Kangsar pada 27 Julai lalu, menjadikan ia kes pertama dilaporkan di Perak sejak bermulanya musim cuaca panas pada Mei.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan, berkata kesemua mangsa berusia antara 22 hingga 39 tahun mengalami simptom seperti hampir pitam, pening, loya dan keletihan, namun tiada gejala neurologi serius seperti sawan direkodkan.

“Mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan dan pemantauan lanjut. Tiada yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penyerahan Faedah Insurans Pekerjaan dan Mini Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran PERKESO Perak di Ipoh.

Menurut Sivanesan, kesemua anggota tentera terlibat berada di dalam hutan selama hampir tiga hari berturut-turut, dan menjalani latihan sehingga tengah hari dalam keadaan cuaca panas terik.

“Pasukan perubatan tentera yang bertugas di Regiment Aid Post (RAP) telah memberi rawatan awal sebelum mereka dibawa keluar menggunakan ambulans tentera ke Hospital Kuala Kangsar,” jelasnya.

Tambah beliau, kejadian telah dimaklumkan kepada Unit Kawalan Penyakit Berjangkit (KPAS) Daerah Kuala Kangsar dan negeri untuk tindakan susulan serta pemantauan rapi oleh Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Kangsar.

“Setakat ini, tiada kes strok haba baharu direkodkan di Perak,” katanya lagi.

Strok haba atau heat stroke merupakan keadaan kecemasan perubatan yang berlaku apabila tubuh badan gagal menyejukkan diri, terutama dalam suhu persekitaran tinggi.

Kumpulan berisiko termasuk pekerja luar, atlet, dan anggota keselamatan yang menjalani latihan intensif dalam cuaca panas. 

+ - reset