TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cubaan masuk ‘setting’ 26 warga Bangladesh ke Malaysia digagalkan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Cubaan 26 warga Bangladesh untuk memasuki Malaysia secara ‘setting’ atau disusun oleh pihak tertentu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) berjaya digagalkan semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kumpulan itu tiba menggunakan dua penerbangan dari Dhaka dan dipercayai laluan kemasukan mereka telah dirancang dengan bantuan pihak tertentu.

Sebaik sahaja tiba di pintu ketibaan antarabangsa KLIA1, kesemua mereka dipintas Pasukan Pemantau AKPS sejurus keluar dari pesawat dan dibawa ke Pejabat Operasi AKPS KLIA1 untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati mereka tidak memenuhi syarat kemasukan sah dan memberikan alasan yang meragukan untuk memasuki negara ini,” kata kenyataan itu.

Menurut AKPS, pihaknya bertindak pantas dengan mengeluarkan arahan supaya semua individu terbabit dihantar pulang ke negara asal menggunakan penerbangan seterusnya.

Kenyataan itu turut menyebut kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama erat antara Unit Risikan dan Pasukan Pemantau AKPS KLIA1 dalam mengekang kemasukan pelawat berisiko tinggi.

“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh kawalan sempadan negara, khususnya di pintu masuk utama seperti KLIA,” katanya. – Media Telus

+ - reset