Berita Berita
Tengku Zafrul sangkal dakwaan Tun M, tegaskan usaha kerajaan hanya mahu selamatkan 'periuk nasi' rakyat
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Menurut beliau, tuduhan bahawa kerajaan ‘gembira’ dengan perjanjian itu adalah tidak benar kerana keputusan yang diambil adalah satu bentuk pengurusan krisis demi melindungi kepentingan negara serta rakyat.
“Ia bukan soal ‘gembira’ tetapi soal tanggungjawab menyelamatkan periuk nasi dan mata pencarian rakyat Malaysia.
"Rundingan dilakukan untuk mengelak tarif AS sebanyak 25 peratus yang mengancam lebih RM198 bilion nilai eksport dan 100,000 pekerjaan, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
“Kita berjaya mendapatkan kadar 19 peratus yang sama seperti negara ASEAN lain, sekali gus mengutamakan kepentingan nasional dan kestabilan ekonomi,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa Malaysia telah memansuhkan 100 peratus cukai ke atas 11,000 produk AS.
Jelas beliau, kenyataan itu tidak benar sama sekali.
“Fakta sebenarnya, hanya 60.4 peratus baris tarif kini dikenakan duti sifar, bukannya 100 peratus seperti yang dinyatakan. Perbezaan 60 peratus dan 100 peratus amat besar.
“Realitinya, langkah ini bukan soal ‘memberi’ hasil cukai, tetapi mempertahankan nilai eksport, pekerjaan, dan mengelak kesan limpahan negatif kepada ekonomi, pasaran kewangan serta modal,” jelasnya.
Tengku Zafrul juga menolak dakwaan bahawa Malaysia bersetuju membekalkan nadir bumi kepada AS atau mana-mana negara secara eksklusif.
Katanya, tuduhan itu tidak berasas kerana tiada sebarang perjanjian secara lisan mahupun bertulis yang dimeterai.
“Ini satu lagi dakwaan yang tidak benar. Tiada perjanjian, sama ada secara lisan atau bertulis, untuk membekalkan nadir bumi kepada AS atau mana-mana negara secara eksklusif.
“Kenapa Malaysia begitu bodoh menerima hanya 5 peratus daripada nilai sebenar sedangkan kita boleh dapat banyak kali ganda?” katanya.
Tambah beliau lagi, mulai 1 Januari 2024, kerajaan telah menguatkuasakan larangan eksport nadir bumi mentah selaras dengan keputusan Kabinet, dan dasar tersebut dipantau serta disemak setiap enam bulan.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan proses nadir bumi dilakukan dalam negara untuk memaksimumkan nilai tambah dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, Malaysia kini sedang membangunkan keseluruhan rantaian industri nadir bumi termasuk aktiviti perlombongan (huluan), pemprosesan (pertengahan), dan pembuatan teknologi tinggi (hiliran).
“Industri nadir bumi dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran. Dasar ini juga telah dimaklumkan kepada semua kerajaan negeri dan pematuhan adalah wajib,” ujarnya.
Tengku Zafrul turut menyatakan bahawa kerajaan bersedia menerima kritikan, namun ia perlu dibuat berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu.
“Tidak salah untuk mengkritik, tetapi apabila kritikan dibuat berdasarkan tuduhan yang tidak benar, ia adalah salah dan boleh mengelirukan rakyat,” katanya lagi sambil menyeru semua pihak merujuk kepada kenyataan rasmi sebelum membuat sebarang tuduhan mengenai dasar perdagangan negara.
Berita berkaitan
April 17, 2026, 11:53 pm
ADUN Sentosa puji Pakej Daya Tahan RM131 juta, langkah proaktif perkukuh ekonomi Selangor
April 17, 2026, 11:26 pm
HRD Corp selesai penstrukturan semula, kini fokus pelaksanaan, perkukuh tadbir urus
April 17, 2026, 7:37 pm
Dua beradik warga emas maut, kereta bertembung van di Kuala Kangsar
April 17, 2026, 7:32 pm
PM tegaskan pendirian Malaysia terhadap Israel dalam temubual bersama Sneako
April 17, 2026, 7:28 pm
MARA taja pengajian lepasan SPM yatim piatu, ringankan beban keluarga
April 17, 2026, 7:24 pm
FELCRA nafi kaitan dengan penemuan 26 tong bahan kimia di Jempol
April 17, 2026, 6:28 pm
KBS perluas akses pembangunan sukan belia di pedalaman Sarawak - Mordi
April 17, 2026, 3:21 pm
Malaysia utamakan kegunaan rakyat, pertimbang beri diesel pada Australia jika ada lebihan
April 17, 2026, 3:16 pm
