TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke tegur tindakan ‘mengajar’ individu kibar Jalur Gemilang terbalik, samakan dengan perbuatan buli

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan tindakan mengadakan protes di premis perniagaan atau ‘mengajar’ cara mengibar bendera sebagai reaksi terhadap kesilapan pemasangan Jalur Gemilang adalah perbuatan yang tidak wajar.

Beliau mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan daripada insiden berkenaan dengan ‘menangguk di air keruh’, kerana perbuatan sedemikian menyerupai pembuli dan jelas ditolak oleh rakyat Malaysia.

Menurutnya, kes berkaitan kesilapan pemasangan bendera perlu diserahkan kepada pihak berkuasa khususnya polis, untuk bertindak secara adil dan berpaksikan kedaulatan undang-undang.

“Dalam kehangatan kita menunggu ketibaan 31 Ogos, beberapa insiden terpencil baru-baru ini di mana Jalur Gemilang dipasang secara tidak betul telah menjadi polemik hangat di media sosial dan berpotensi mengalihkan fokus sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. Itu sebabnya ada undang-undang khusus mengawal selia pengibarannya.

“Mana-mana penyalahgunaan dan kesilapan berhubung bendera dan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, tular video 21 saat memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai ‘mengajar’ dua individu di Bertam, Pulau Pinang itu cara betul memasang Jalur Gemilang pada Isnin ini.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pengibaran Jalur Gemilang adalah salah satu manifestasi semangat cintakan negara, namun patriotisme tidak boleh dinilai hanya dengan satu bentuk sahaja.

“Setiap orang mempunyai cara berbeza untuk menunjukkan kecintaan mereka kepada negara dan tiada pihak yang boleh memonopoli erti patriotisme.

“Sempena Hari Kebangsaan yang akan datang ini, marilah sama-sama menguatkan perpaduan, menghormati kepelbagaian dan berusaha menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan Malaysia yang kita cintai,” ujarnya.

+ - reset