TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Belanja pembaikan jalan akibat banjir cecah RM101.57 juta setakat Januari - Nanta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kos pembaikan jalan akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) setakat Januari tahun ini mencecah RM101.57 juta, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi pembaikan jalan di Semenanjung bernilai RM45.37 juta, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak RM56.2 juta.

“Gelombang pertama MTL pada Disember tahun lalu mencatatkan kos pembaikan keseluruhan RM312.1 juta, membabitkan RM247 juta bagi jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk cerun jalan Persekutuan dan RM24.8 juta untuk jalan negeri.

“Oleh itu, kos semasa pembaikan jalan yang ditanggung kerajaan adalah antara RM100 juta hingga lebih RM300 juta, bergantung kepada skala bencana dan tahap kerosakan yang dinilai,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Mengulas mengenai cadangan agar kerajaan mewajibkan kontraktor menggunakan bahan binaan jalan lebih tahan cuaca, Nanta Linggi menjelaskan tiada dasar rasmi mewajibkan penggunaan bahan sedemikian buat masa ini.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa menilai dan mengadaptasi bahan serta teknologi baharu mengikut kesesuaian iklim dan teknikal negara,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) memiliki sistem Road Material Approved List (RMAL) di mana pendaftaran produk dan bahan baharu dilakukan secara sukarela.

“Ini menunjukkan tiada keperluan wajib, namun bahan baharu perlu melalui proses penilaian dan kelulusan sebelum digunakan, bagi memastikan standard, keselamatan dan kesesuaian dengan iklim Malaysia dipenuhi,” katanya.

+ - reset