TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mindef tegaskan tiada kompromi terhadap anggota tentera terlibat sindiket

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota dan pegawai tentera yang ditahan kerana disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kes tersebut.

“Saya menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dalam perkara ini, terutamanya apabila dakwaan tersebut berpotensi menggugat keselamatan negara.

“Tiada individu yang kebal di bawah undang-undang. Saya menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan rapi dan memastikan mereka yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa SPRM berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di selatan tanah air menerusi Ops Sohor.

Operasi itu dikendalikan Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam, termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang sejak operasi bermula pada jam 6.30 pagi tadi. - Media Telus

+ - reset