TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar kagumi sentuhan Akbar Khan dalam ‘Taj Mahal: An Eternal Love Story’

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji kekuatan filem Taj Mahal: An Eternal Love Story yang berjaya melangkaui sekadar penceritaan sejarah, sebaliknya menyelami emosi mendalam berkenaan cinta, kesetiaan, kehilangan dan kedukaan.

Anwar yang menonton semula karya arahan rakan lamanya, Akbar Khan, pada Isnin lalu selepas lebih 10 tahun kali terakhir menontonnya, berkata gabungan sinematografi indah, kehalusan seni bina, serta naratif cinta yang menyentuh hati menjadikan filem ini istimewa.

Menurut beliau, keupayaan Akbar menggabungkan kisah cinta menyayat hati dengan sejarah empayar Mughal mengingatkan kepada karya William Shakespeare, yang bukan hanya mengulang naratif lama, tetapi menawarkan sudut pandang lebih berempati dan sarat unsur politik, konflik sosial, serta ikatan cinta.

“Walaupun sesekali bersifat sentimental berlebihan, ia tidak mengurangkan kekuatan emosi filem ini,” katanya di Facebook.

Anwar turut mengaitkan tema filem dengan realiti dunia hari ini yang berpecah-belah dan dikuasai teknologi, menyifatkannya sebagai peringatan tentang makna pengorbanan dan cinta sejati.

“Syabas kepada Akbar Khan dan pasukannya atas karya yang begitu berjaya ini, yang menunjukkan bahawa tanpa cinta, hidup hampir tiada makna,” tambahnya.

Taj Mahal: An Eternal Love Story diterbitkan pada 2005, mengisahkan cinta abadi Maharaja Mughal Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal, yang menjadi inspirasi pembinaan monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India. Ia menampilkan lokasi penggambaran asli di India, sinematografi seni bina Mughal, dan barisan pelakon Bollywood terkenal seperti Kabir Bedi, Manisha Koirala, Arbaaz Khan, Sonya Jehan, serta Zulfikar Sayed. - Media Telus

+ - reset