TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Perjuangan tuntut keadilan Zara Qairina tidak akan terhenti' - Nurul Izzah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berikrar perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan diteruskan sehingga pihak bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

Beliau menegaskan, setiap anak di negara ini berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.

“Kita akan terus memantau rapat setiap perkembangan kes ini. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk cakna, melindungi dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Nurul Izzah turut mengajak orang ramai untuk terus berdoa dan bertawakal agar keadilan ditegakkan serta roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Pemergian tragis ini menyentuh hati rakyat di seluruh negara dan menyatukan kita merentasi sempadan serta perbezaan. Zara seperti anak kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkesempatan bertemu ibu Allahyarham di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini bagi menyampaikan takziah secara bersemuka.

“Dua minggu lalu, saya terbang dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara tetapi pada waktu itu beliau masih belum bersedia. Syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan ucapan takziah,” ujarnya.

Sebagai seorang ibu, kata Nurul Izzah, beliau memahami kesedihan yang ditanggung keluarga Allahyarham.

“Ibu Zara hanya mahu melihat anaknya membesar sihat dan ceria, namun takdir menentukan segalanya,” katanya.

 

+ - reset