TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bapa 6 anak di Melaka didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, rakam gambar bogel anak dalam bilik air

By
|
Kongsi
image

MELAKA 12 Ogos - Seorang juruteknik perkakas elektrik berusia 41 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 52 pertuduhan membabitkan sumbang mahram, amang seksual fizikal serta merakam gambar bogel anak kandungnya.

Tertuduh yang juga bapa kepada enam anak itu mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Berdasarkan 17 pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang ketika itu berusia 18 tahun, mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi 34 pertuduhan lain, dia didakwa sebagai individu yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa, telah melakukan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017), serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Hukuman bagi kesalahan itu boleh mencecah penjara 20 tahun dan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 7 AKSTK 2017 kerana membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar bogel mangsa ketika berusia 17 tahun 11 bulan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Tambak Paya, antara 12 Mei 2025 hingga 2 Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan termasuk larangan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melapor diri setiap dua minggu di balai polis serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan pendapatannya terhad dan mengalami tekanan emosi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM90,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan, serta menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

+ - reset