Berita Berita
'Arwah anak baru jalani latihan PALAPES tapi dikebumikan dengan protokol penuh' - Ibu Syamsul Haris syak punca sebenar kematian anak disembunyikan

Oleh NUR LELA ZULKIPLI
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, mempersoalkan percanggahan maklumat awal berhubung waktu kematian anaknya.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, pada 28 Julai lalu, beliau dimaklumkan oleh seorang jurulatih PALAPES bahawa anaknya dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi kerana mengalami sawan atau meracau.
Namun, kira-kira 30 minit kemudian, beliau menerima panggilan kedua daripada pihak sama memaklumkan anaknya telah meninggal dunia.
“Saya tiba di hospital sekitar jam 4 pagi dan melihat kecederaan seperti lebam di mata, pendarahan luar biasa di hidung dan mata, luka di mulut serta pendarahan teruk di leher yang ditutup dengan kapas.
“Kami tidak dibenarkan membuka selimut yang menutupi jasad atau mengambil gambar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Syamsul Haris meninggal dunia selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor.
Ummu mendakwa, pihak hospital memaklumkan anaknya tiba dalam keadaan ‘Brought in Dead’ (BID) pada jam 6.23 petang, sedangkan borang pendaftaran mencatatkan waktu kematian pada jam 3.50 petang.
“Kami juga hairan mengapa pengebumian dilakukan dengan penuh protokol ketenteraan sedangkan anak saya belum ditauliahkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa bedah siasat mendapati terdapat kecederaan teruk pada tubuh anaknya yang tidak selari dengan penjelasan awal bahawa kematian berpunca daripada sawan.
Sebelum ini, keluarga menuntut siasatan segera berhubung punca sebenar kematian dan memohon pihak berkuasa termasuk polis serta Kementerian Kesihatan memberikan penjelasan. - Media Telus
Berita berkaitan
August 12, 2025, 10:30 pm
Pemuda UMNO Terengganu mohon maaf siar grafik Jalur Gemilang tak cukup 14 jalur
August 12, 2025, 9:16 pm
Budak perempuan retak tempurung kepala dipercayai ditolak rakan, ibu rayu doa orang ramai
August 12, 2025, 8:28 pm
Pengasuh didakwa tampar pipi bayi tidak henti menangis hingga lebam di Batu Pahat
August 12, 2025, 5:56 pm
KPM tak beri muka, guru hisap vape, rokok di sekolah boleh didenda RM10,000 atau penjara 2 tahun
August 12, 2025, 5:51 pm
Bapa 6 anak di Melaka didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, rakam gambar bogel anak dalam bilik air
August 12, 2025, 5:32 pm
KPM komited perkukuh usaha tangani buli, terima 4 tuntuan memorandum #KeadilanUntukZara
August 12, 2025, 4:21 pm