Berita Berita
Pemilik kedai di Pulau Pinang akui tersilap pasang Jalur Gemilang terbalik, sedia hadapi tindakan undang-undang

KEPALA BATAS 12 Ogos – Seorang pemilik kedai perkakasan yang menjadi tumpuan ekoran isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik tampil mengakui kesilapan tersebut dan bersedia menerima apa sahaja tindakan perundangan.
Pang Chin Tiang, 59, berkata sejak 10 tahun mengusahakan premis itu, beliau tidak pernah terlepas mengibarkan bendera kebangsaan setiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme.
Namun, katanya, tahun ini berlaku kesilapan tidak disengajakan ketika proses pemasangan.
“Perkara ini bukan berlaku dengan sengaja. Masa itu belum siap ikat, saya terus ambil tangga untuk betulkan. Sekarang biarlah polis siasat dan apa sahaja keputusan, saya terima dan tanggung akibatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di premisnya, hari ini.
Terdahulu, Pang menerima kunjungan EXCO Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye, yang turut mengedarkan 500 Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Pang menegaskan beliau akan terus mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan kedainya pada tahun-tahun akan datang walaupun insiden ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa fobia.
“Saya cintakan Malaysia dan akan terus pasang bendera ini,” katanya.
Pang yang ditahan polis pada hari kejadian dibebaskan dengan jaminan sehari selepas itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan permohonan maaf beliau selepas rakaman berdurasi 21 saat tular di media sosial, memaparkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya sebelum dibaiki.
Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang memandang serius isu tersebut, terutama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.
Berita berkaitan
August 12, 2025, 10:30 pm
Pemuda UMNO Terengganu mohon maaf siar grafik Jalur Gemilang tak cukup 14 jalur
August 12, 2025, 9:16 pm
Budak perempuan retak tempurung kepala dipercayai ditolak rakan, ibu rayu doa orang ramai
August 12, 2025, 8:28 pm
Pengasuh didakwa tampar pipi bayi tidak henti menangis hingga lebam di Batu Pahat
August 12, 2025, 5:56 pm
KPM tak beri muka, guru hisap vape, rokok di sekolah boleh didenda RM10,000 atau penjara 2 tahun
August 12, 2025, 5:51 pm
Bapa 6 anak di Melaka didakwa 52 pertuduhan sumbang mahram, rakam gambar bogel anak dalam bilik air
August 12, 2025, 5:32 pm
KPM komited perkukuh usaha tangani buli, terima 4 tuntuan memorandum #KeadilanUntukZara
August 12, 2025, 4:21 pm