Berita Berita
'Negara belum reda lagi kes buli' - Anwar arah Saifuddin siasat kes anak Rafizi diserang, dicucuk jarum suntikan di Putrajaya

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan terhadap anak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang disifatkan sebagai tindakan jahat dan khianat.
Beliau berkata, insiden itu berlaku ketika negara masih berdepan isu gejala buli di sekolah.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan segera.
“Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Rafizi mendedahkan anaknya diheret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba oleh seorang lelaki ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, petang tadi.
Rafizi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, anak dan isterinya sedang memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah berkenaan apabila insiden berkenaan berlaku.
"Semakan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka sudah merancang serangan itu lebih awal.
"Serangan itu membabitkan dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
"Mereka sudah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada waktu yang sesuai," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, anaknya kemudian dibawa segera ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mendapatkan rawatan.
"Pihak polis juga berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga sudah memberi kenyataan kepada polis.
"Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan pihak polis dan Hospital UPM," katanya.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis dan Hospital UPM yang membantu keluarganya atas kejadian berkenaan.
"Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofil awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti itu.
"Saya percaya serangan itu satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu. Terima kasih kepada semua yang menghantar mesej dan bertanya khabar.
"Insya-Allah, sementara saya mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa," katanya.
Berita berkaitan
August 14, 2025, 9:09 am
KPN nasihat orang ramai jangan sertai himpunan isu bendera terbalik anjuran UMNO di Bertam
August 14, 2025, 8:17 am
Rakyat sudah faham manfaat, kerajaan akan kekalkan SST - MOF
August 14, 2025, 8:05 am
RON97, diesel turun 4 sen
August 14, 2025, 7:51 am
4.63 juta pencarum KWSP keluarkan RM14.79 bilion melalui Akaun Fleksibel
August 13, 2025, 6:24 pm
Polis siasat kes Zara Qairina melalui inkues dan perbuatan buli sebelum kematian serentak
August 13, 2025, 5:22 pm
Polis buru penunggang aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Utara-Selatan
August 13, 2025, 5:17 pm
Tiada bedah siasat kes kematian Zara Qairina langgar SOP - Pengarah JSJ
August 13, 2025, 5:15 pm
Anak Rafizi berusia 13 tahun diserang, kini dirawat di hospital
August 13, 2025, 5:00 pm