TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

4.63 juta pencarum KWSP keluarkan RM14.79 bilion melalui Akaun Fleksibel

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sejak pengenalan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 pada Mei tahun lalu, seramai 4.63 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat pengeluaran bernilai RM14.79 bilion.

Kementerian Kewangan memaklumkan, jumlah itu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli berumur bawah 55 tahun setakat 30 Jun lalu.

"Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM10.16 bilion," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah kerajaan akan membenarkan Pengeluaran Khas KWSP 2025 dengan memindahkan 30 peratus simpanan Akaun 1 ke dalam Akaun 3 bagi membantu rakyat miskin menghadapi tekanan kos sara hidup.

Kementerian Kewangan menjelaskan, pengeluaran khas terdahulu daripada Akaun Persaraan (Akaun 1) hanya dibenarkan semasa pandemik COVID-19 dan bersifat sementara.

Mandat utama KWSP, jelas kementerian, adalah memastikan kecukupan simpanan persaraan untuk kegunaan hari tua.

Selain bertentangan dengan mandat tersebut, pengeluaran Akaun 1 juga tidak selaras dengan piawaian antarabangsa yang menekankan tanggungjawab kerajaan menyediakan sembilan cabang asas perlindungan sosial, termasuk bagi risiko usia tua.

"Bagi mengimbangi keperluan jangka panjang, sederhana dan pendek ahli, KWSP pada Mei 2024 telah menstruktur semula akaun KWSP kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel dengan nisbah caruman masing-masing adalah sebanyak 75:15:10.

"Akaun 1 dikhaskan bagi tujuan simpanan hari tua, Akaun Sejahtera atau Akaun 2 pula adalah bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran pra-persaraan seperti pengeluaran bagi tujuan pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Akaun Fleksibel yang juga dikenali sebagai Akaun 3 adalah akaun baharu yang diwujudkan bagi memboleh ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa terutamanya ketika kecemasan," katanya.

Kementerian Kewangan menegaskan, simpanan Akaun 1 bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap cabaran kos sara hidup dan status pekerjaan yang bersifat sementara.

Kerajaan, katanya, sentiasa cakna terhadap kesukaran rakyat dan telah memperkenalkan pelbagai bentuk bantuan seperti tunai langsung, subsidi bersasar serta insentif khas bagi meringankan beban dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat terus terpelihara. - Media Telus

+ - reset