TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM laksana pengambilan guru tetap 2 kali setahun atasi kekosongan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Proses temu duga dan pengambilan guru tetap kini dilaksanakan dua kali setahun bermula 2025, dengan permohonan dibuka sepanjang tahun bagi mempercepat penempatan dan mengatasi kekosongan guru di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu membolehkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengisi kekosongan guru di sekolah rendah dan menengah dengan lebih berkesan serta memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terganggu.

“Sebagai langkah memastikan kekosongan guru tidak menjejaskan PdP di bilik darjah, KPM melaksanakan penempatan guru secara interim dan penempatan semula secara bersasar.

“KPM juga sudah menubuhkan Sekretariat Bersama KPM-KPT untuk menyelaras data unjuran keperluan guru secara bersepadu agar pengeluaran graduan pendidikan universiti awam dan institut pendidikan guru memenuhi keperluan sebenar sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS–Igan) berhubung jumlah guru bersara wajib dan bersara awal di Sarawak sejak 2020, serta langkah segera KPM mengisi kekosongan berkenaan.

Menurut Fadhlina, seramai 4,737 guru bersara wajib di Sarawak antara 2020 hingga 2025, manakala purata 241 guru setahun bersara awal dalam tempoh 2020 hingga 2024.

Daripada jumlah bersara wajib itu, 737 direkodkan pada 2020, 774 pada 2021, 650 pada 2022, 664 pada 2023, dan 789 pada 2024.

Bagi mengatasi kekurangan di Sarawak, katanya, KPM melaksanakan urusan pengambilan khas pada 2024 yang menyaksikan 1,068 guru berjaya dilantik dan melapor diri ke sekolah mulai 13 Februari 2025. - Media Telus

 

+ - reset