TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kantoi' kemuka tempahan hotel palsu, 98 warga Bangladesh ditolak masuk Malaysia di KLIA

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Seramai 98 warga Bangladesh dihalang memasuki Malaysia selepas gagal mematuhi syarat kemasukan dalam operasi pemeriksaan di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA Terminal 1, awal pagi tadi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dalam kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan dari jam 1 pagi hingga 7.30 pagi itu melibatkan pemeriksaan dan soal siasat terhadap 181 pelawat asing.

Sebahagian daripada mereka dikesan sebaik sahaja mendarat melalui penerbangan dari Dhaka pada awal pagi.

“Ketibaan melalui penerbangan pada lewat malam atau awal pagi dipercayai bertujuan mengelak pemeriksaan berterusan oleh AKPS pada waktu siang.

“Antara punca penolakan kemasukan termasuk penggunaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket pulang serta kegagalan membuktikan kemampuan kewangan,” menurut kenyataan itu.

Kesemua mereka dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah.

AKPS KLIA menegaskan kawalan pintu masuk akan terus diperketat, operasi pemantauan diperkukuh, dan tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota yang bersubahat membawa masuk warga asing secara tidak sah.

“AKPS KLIA akan terus mengesan, menahan, dan menghantar pulang pelawat asing yang tidak layak memasuki negara demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara,” jelas kenyataan itu.
 

+ - reset