TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Persidangan TVET ASEAN perkukuh ekonomi hijau dan digital seiring kemahiran masa depan

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

 

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Persidangan TVET ASEAN 2025 melabuhkan tirai dengan kejayaan memeterai visi bersama untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras pembangunan kemahiran digital dan hijau yang inklusif, sekali gus mengukuhkan kerjasama serantau bagi melahirkan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing di peringkat global.

Acara berprofil tinggi selama dua hari yang bermula Rabu lalu itu dianjurkan bersama oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan tema “Memacu Transformasi Digital dan Hijau melalui Sistem TVET yang Inklusif serta Sedia Menghadapi Cabaran Masa Depan”. 

Program berkenaan menghimpunkan 25 penceramah pakar dan dihadiri kira-kira 1,500 perwakilan dari negara anggota ASEAN, termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, pertubuhan pekerja dan rakan pembangunan antarabangsa.

Dalam Sesi Epilog: Hari Pertama, Ketua Eksekutif PTPK, Mohd Fathullah Mustafa, menegaskan bahawa ASEAN TVET bertujuan memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu utama transformasi serantau.

Beliau menekankan keperluan mendorong inovasi bagi meningkatkan kualiti dan kesesuaian latihan serta memperkukuh keupayaan institusi bagi memastikan akses saksama kepada kemahiran digital dan hijau masa depan untuk semua.

“Apa yang ingin kita capai melalui persidangan ini bukan sekadar sesi perbincangan, tetapi hasil yang boleh dilaksanakan, termasuk satu set prinsip panduan untuk membantu negara anggota ASEAN membangunkan sistem TVET masa depan yang mengintegrasikan dimensi digital dan hijau, serta himpunan amalan terbaik untuk mewujudkan TVET berasaskan permintaan dan bersifat inklusif,” katanya.

Sementara pada Sesi Epilog: Hari Kedua, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, menekankan bahawa TVET adalah tulang belakang kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial ASEAN yang mampu mengurangkan pengangguran belia, memacu keusahawanan, mengukuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menjadi pemangkin keterangkuman sosial.

“Marilah kita meneruskan kerjasama sebagai satu rantau, mengukuhkan perkongsian dan bekerjasama rapat untuk memodenkan kurikulum, memperluas jaringan dengan industri, dan menjadikan TVET sebagai platform bertaraf tinggi,” katanya.

Persidangan turut menampilkan Innovator Pitch Day: ASEAN Future-Makers Challenge 2025 bagi menggalakkan graduan TVET dan rakan industri mempamerkan kemahiran teknikal serta pemikiran keusahawanan dalam mencari penyelesaian praktikal kepada cabaran dunia sebenar. 

Daripada 58 penyertaan yang diterima antara 1 hingga 30 Julai melalui laman web AYOS 2025, 20 finalis terbaik membentangkan inovasi mereka secara langsung kepada perwakilan dan juri.

Keputusan pertandingan menyaksikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang muncul juara, diikuti Institut Proton (ADTEC Melaka) di tempat kedua dan Sekolah Menengah Antarabangsa UUM Melaka di tempat ketiga. Panel juri terdiri daripada Dr. Hidayatullah Mohammad Ali (UPM), Dr. Nur Athirah Yusof (UMS) dan Dr. Mohd Zieauddin Kufian (Universiti Malaya).

Sebanyak 57 pempamer turut mengambil bahagian mempamerkan inovasi tempatan, penyelesaian latihan dan teknologi yang mencerminkan keupayaan negara memacu pembangunan kemahiran digital dan hijau.

ASEAN TVET merupakan platform perdana keempat di bawah ASEAN Year of Skills 2025 (AYOS 2025) yang dihoskan Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Platform seterusnya termasuk Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE), Forum Kemahiran Global (GSF) dan Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN untuk Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD), yang akan terus memacu agenda pembangunan modal insan melalui kerjasama berani, penglibatan industri yang kukuh dan integrasi kelestarian alam sekitar dalam sistem kemahiran. - Media Telus

+ - reset