TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL sahkan jubin diangkat jatuh atas rumah penduduk di Bukit Damansara, kerja pembinaan kondominium diarah henti

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menghentikan kerja-kerja pembinaan sebuah projek kondominium mewah di Bukit Damansara selepas insiden kepingan jubin granit terjatuh dan mencederakan seorang wanita di kediamannya.

DBKL dalam kenyataannya mengesahkan kejadian berlaku pada 5.55 petang semalam apabila bahan binaan dari tapak projek The Cedar, Bukit Damansara terjatuh.

Menurutnya, beberapa keping jubin granit berukuran 48,000 sentimeter yang sedang diangkat menggunakan ‘tower crane’ telah berlanggar dengan penghadang di aras tiga.

“Pelanggaran ini menyebabkan beberapa keping jubin jatuh ke pelantar perangkap dan terpelanting ke arah rumah mangsa tersebut,” katanya.

Kejadian itu mengakibatkan kerosakan pada bumbung rumah serta mencederakan penghuni berkenaan. DBKL memaklumkan pihaknya telah membantu membersihkan sisa dan membaiki kerosakan di lokasi terjejas.

Selain itu, DBKL melalui Jabatan Kawalan Bangunan mengeluarkan Notis Berhenti Kerja atau Stop Work Order (SWO) pada 11 pagi hari ini di bawah Seksyen 87 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“SWO ini berkuat kuasa sehingga pihak kontraktor menyiapkan pembaikan rumah yang terkesan dengan persetujuan pemilik, menanggung kos rawatan perubatan mangsa yang cedera, serta menambah baik pelantar perangkap di sempadan pembangunan The Cedar dan kediaman bersebelahan,” katanya.

Projek itu melibatkan pembinaan satu blok pangsapuri mewah setinggi tujuh tingkat dengan 70 unit kediaman, lobi utama dan kemudahan penduduk di aras tanah. Pelan bangunan diluluskan pada 28 April 2021, dan ketika ini telah mencapai kemajuan 75 hingga 80 peratus melibatkan kerja-kerja arkitektural serta mekanikal dan elektrikal.

“DBKL ingin menegaskan bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan serta prosedur keselamatan di tapak pembinaan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita mendakwa dia dan keluarga nyaris maut selepas kepingan jubin dari sebuah kondominium yang sedang dibina terjatuh menimpa rumahnya.

Dalam video tular di TikTok @nadiahraha, mangsa menunjukkan kecederaan di bahagian hidung akibat kejadian tersebut, selain memuat naik beberapa gambar yang memaparkan bumbung rumahnya yang rosak. 

 

 

+ - reset