TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak gentar, tak menyerah!' - Dr Akmal sedia berdepan polis, beri keterangan isu himpunan Jalur Gemilang malam ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan memberi keterangan kepada polis malam ini berhubung demonstrasi yang diketuainya di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas semalam, susulan bantahan terhadap tindakan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dijadual hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11 malam ini.

Dalam hantaran video di Facebook, Dr Muhamad Akmal memaklumkan beliau dihubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang memintanya hadir untuk dirakam keterangan malam ini.

"Saya akan beri kerjasama sebaik mungkin. Jika ini harga yang perlu dibayar untuk menjaga kehormatan negara ini, tidak mengapa, saya rela dan akan terus berjuang hingga ke titisan terakhir.

Tidak gentar, tidak menyerah!," katanya yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Semalam, beliau mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer membantah tindakan sebuah kedai perkakasan mempamerkan bendera negara secara terbalik.

Ekoran itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.

Beliau menambah, tindakan Akmal itu mengabaikan amaran Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya tidak mengadakan perhimpunan awam.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, sambil menyifatkan perarakan itu sebagai provokatif, menyalahi undang-undang dan menggugat usaha memupuk perpaduan sempena bulan kemerdekaan.

+ - reset