Berita Berita
Buli kini jenayah, pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G diselaraskan - Fahmi

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Kerajaan sedang menyelaras pelaksanaan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan bagi memastikan semua pihak sedar dan memahami bahawa buli adalah satu jenayah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri menyampaikan pandangan tegas bahawa kerajaan tidak akan membenarkan sikap buli seperti ini (kes kematian Zara Qairina Mahathir) berlarutan.
“Jadi, antara perkara yang akan diusahakan dalam kalangan menteri adalah penyelarasan beberapa tindakan memandangkan pindaan kepada Seksyen 507B hingga 507G telah mula berkuat kuasa pada Julai lepas.
“Maka, kita ingin pastikan pelaksanaan bagi pindaan yang telah mentakrif dan mendefinisikan buli sebagai satu jenayah difahami oleh semua kementerian, terutama yang menguruskan institusi pendidikan termasuk asrama, dan beberapa tindakan susulan akan dilaksanakan,” katanya.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025, anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, Jumaat.
Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli secara lebih efektif dan menyeluruh, termasuk buli siber, telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024.
Beliau menambah, Perdana Menteri turut menegaskan pandangan mengenai sikap segelintir pihak dan tokoh yang dianggap biadab atau tidak wajar, dengan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.
Fahmi berkata, amanat Perdana Menteri dalam MAPPA XX turut menekankan peranan penjawat awam dalam memelihara keamanan, ketenteraman dan kemajuan negara.
“Perdana Menteri dalam ucapannya telah menyampaikan beberapa pesanan penting, antaranya bahawa kemajuan yang kita nikmati, terutama mutakhir ini, adalah hasil perubahan dan reformasi yang berjaya dilaksanakan, termasuk pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.
“Kita mengalu-alukan siri pengumuman Perdana Menteri yang menjadi kelegaan kepada penjawat awam. Namun seperti yang disebut beliau, pengumuman besar untuk penjawat awam akan diumumkan, insya-ALLAH, pada 10 Oktober depan ketika pembentangan Belanjawan 2026,” katanya.
Berita berkaitan
August 15, 2025, 11:43 pm
'Kantoi' kemuka tempahan hotel palsu, 98 warga Bangladesh ditolak masuk Malaysia di KLIA
August 15, 2025, 8:37 pm
Budak 10 tahun di Melaka merajuk keluar rumah gara-gara disuruh tidur awal
August 15, 2025, 6:00 pm
AGC pesan rakyat jangan ambil tindakan sendiri isu bendera, serah saja kepada pihak berkuasa
August 15, 2025, 5:12 pm
Kerajaan beri elaun khas kepada penjawat awam sambung belajar -PM
August 15, 2025, 5:02 pm
Persidangan TVET ASEAN perkukuh ekonomi hijau dan digital seiring kemahiran masa depan
August 15, 2025, 4:37 pm
KPM laksana pengambilan guru tetap 2 kali setahun atasi kekosongan
August 15, 2025, 3:55 pm