Berita Berita
Kerat kepala isteri, bunuh anak tiri, Warga Singapura dihukum penjara 72 tahun, 24 sebatan

MELAKA 18 Ogos – Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak tirinya dengan cara mengerat tubuh mereka sebelum menyembunyikan kepala mangsa di atas siling rumah, enam tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Nizam Zuraimy, 36, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut keputusan mahkamah, tertuduh dihukum penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan arahan hukuman dijalankan berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 11 Oktober 2019.
Menurut hakim, tindakan tertuduh bukan sahaja kejam malah menunjukkan niat jelas untuk menyembunyikan identiti dan jenayahnya.
“Kepala mangsa dibungkus dan diletakkan di atas siling, manakala sebahagian tubuh dibuang di kawasan semak. Tindakan itu jelas untuk menutup bukti kejadian,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Nizam didapati membunuh isterinya, Norfazera Bidin, 27, dan anak tirinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di rumah mereka di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka Tengah, antara 6 petang 6 Oktober hingga 7.30 pagi 7 Oktober 2019.
Kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Terdahulu, ibu dan kakak Norfazera dalam kenyataan impak mangsa menzahirkan trauma mendalam yang dialami keluarga, sambil menggesa hukuman gantung dijatuhkan sebagai pengajaran.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan, turut memohon hukuman gantung sampai mati atas faktor kekejaman, jumlah mangsa serta kepentingan awam.
Bagaimanapun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan ke atas tertuduh selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak.
Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi sebelum itu merayu agar diberikan peluang kedua dengan alasan telah insaf dan menyesali perbuatannya.
Perbicaraan kes menggemparkan ini bermula pada 11 Jun 2020 dengan melibatkan 26 saksi pendakwaan serta seorang saksi pembelaan sebelum keputusan dibuat hari ini. - Media Telus
Berita berkaitan
August 18, 2025, 8:37 pm
Ahli Parlimen Pendang digantung 10 hari kerana cetus kekecohan di Dewan Rakyat
August 18, 2025, 8:31 pm
Tengku Zafrul tegas akan kekal dalam politik
August 18, 2025, 8:23 pm
Kerajaan Madani sokong penuh program RXZ Members 7.0 sebagai pemangkin ekonomi dan perpaduan
August 18, 2025, 8:16 pm
11 kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Kebun Teh Lama
August 18, 2025, 6:41 pm
Hukuman penjara, denda menanti lelaki Islam culas solat Jumaat di Terengganu
August 18, 2025, 6:15 pm
Restoran tawar ganjaran RM30,000 bantu siasatan Zara Qairina
August 18, 2025, 3:33 pm
Perbicaraan saman RM150 juta Mahathir terhadap Anwar bermula 21 Oktober
August 18, 2025, 3:26 pm
Wanita China dipenjara sebulan, denda RM2,000 cederakan pegawai imigresen di KLIA
August 18, 2025, 3:16 pm