TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Restoran tawar ganjaran RM30,000 bantu siasatan Zara Qairina

By
|
Kongsi
image

 

 

JITRA, 18 Ogos – Sebuah restoran tempatan di Jitra tampil menawarkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada orang ramai yang dapat membantu siasatan berhubung kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah menengah agama di Sabah bulan lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, penasihat perniagaan Restoran Tok Keramat, Sobri Zakaria, 57, berkata inisiatif itu dibuat sebagai tanggungjawab moral demi menegakkan keadilan buat remaja berkenaan.

“Saya terpanggil untuk membantu kerana kasih dan sayang pada kanak-kanak. Rasulullah SAW ada menyebut, barang siapa yang tidak kasih kepada kanak-kanak dan orang tua, dia bukan daripada golongan kami.

“Kejadian yang berlaku pada adik Zara membuatkan saya tersentuh hati. Nabi juga kasih pada ibu tunggal seperti ibu Zara yang kini dalam kesusahan. Zara pula anak tunggal. Kalau kita tidak ada perasaan kasih, di mana Islam kita?” katanya ketika ditemui di restorannya, di sini semalam.

Menurut Sobri, tawaran ganjaran itu bertujuan memudahkan siasatan pihak berkuasa agar individu yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Terdahulu, sebuah video solidariti yang dihasilkan Restoran Tok Keramat dimuat naik pada Ahad lalu, menyatakan sokongan terhadap keluarga Zara Qairina serta tawaran ganjaran RM30,000 kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkap pelaku.

Sobri berharap inisiatif tersebut dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes berkenaan yang menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan masyarakat.

Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.

Kematian remaja itu mencetuskan perhatian meluas selepas timbul dakwaan wujud unsur buli melibatkan pelajar senior di sekolah berkenaan. — Media Telus

 

+ - reset