TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cadang lokap pasang CCTV canggih ganti teknologi lapuk, perbicaraan kes rasuah disiarkan secara 'live' – Azam Baki

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 21 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan supaya setiap lokap agensi penguat kuasa di negara ini dipasang kamera litar tertutup (CCTV) canggih berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan serta integriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau menyedari sistem CCTV di beberapa agensi ketika ini sudah lapuk dan berisiko menimbulkan tohmahan termasuk berkaitan isu kematian, rasuah serta ketidakpatuhan.

“CCTV yang ada sekarang memang ada, tapi banyak isu timbul sehingga menimbulkan tohmahan. CCTV sangat penting, dan saya sarankan ia bukan sekadar CCTV biasa. Pertama, perlu ada sistem AI, dan kedua ia mesti disambungkan ke pusat kawalan, bukan ‘stand alone’,” katanya pada sesi khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Azam berkata, satu kertas kerja komprehensif mengenai cadangan tersebut akan dibentangkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

Selain pemantauan lokap, beliau turut mengesyorkan supaya prosiding perbicaraan kes rasuah disiarkan secara langsung bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap proses kehakiman.

“Antara cadangan ialah membenarkan siaran langsung perbicaraan kes rasuah supaya orang ramai dapat mengikuti prosiding. Sekarang ini, banyak isu timbul apabila ada pihak memanipulasi apa sebenarnya berlaku di mahkamah melalui hantaran di media sosial.

“Jika pembaharuan ini dipersetujui, ia satu langkah sangat baik, menunjukkan ketelusan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam mendedahkan SPRM juga berkemungkinan bekerjasama dengan penerbit filem tempatan untuk menghasilkan filem bertemakan antirasuah.

Katanya, tiga penerbit sudah menyatakan minat dan telah diberikan contoh kes untuk diadaptasi, namun syarat utama ialah produksi itu perlu menampilkan pelakon terbaik serta jalan cerita yang menarik dengan mesej antirasuah yang jelas.

“Saya tekankan kepada mereka, filem ini mestilah membawa mesej antirasuah yang betul dan dihasilkan secara serius,” katanya.

 

 

+ - reset