TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua kematian akibat Covid-19 direkodkan setakat bulan Ogos – KKM

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Malaysia merekodkan dua kes kematian akibat COVID-19 setakat Minggu Epidemiologi ke-33 (ME-33) tahun ini, jauh lebih rendah berbanding 58 kes kematian yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sehingga 16 Ogos lalu, sebanyak 41,814 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara berbanding 83,018 kes dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kebanyakan kes bergejala ringan.

“Selari dengan situasi global, terdapat peningkatan kes di negara ini bermula 6 April 2025. Peningkatan kes dikaitkan perubahan subvarian dengan kebanyakan kes bergejala ringan dan vaksin sedia ada masih mampu memberikan perlindungan terhadap subvarian ini.

“Tahap ancaman varian COVID-19 terkini terhadap golongan berisiko adalah rendah dan terkawal kerana Malaysia kini berada dalam fasa hidup bersama COVID-19,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun naik turun jumlah kes adalah perkara biasa, komplikasi masih boleh berlaku khususnya dalam kalangan warga emas dan individu dengan penyakit kronik.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) terus memantau situasi semasa termasuk melalui penjujukan genomik bagi mengesan varian baharu, selain meneruskan pemberian vaksin COVID-19 secara sukarela dan percuma di fasiliti kesihatan terpilih.

“Langkah pencegahan yang boleh diamalkan termasuk pengambilan vaksin, amalan kebersihan kendiri, etika batuk dan bersin, serta pemakaian pelitup muka apabila bergejala atau berada di tempat sesak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Lukanisman memaklumkan bahawa dua individu yang meninggal dunia akibat COVID-19 tahun ini tidak menerima vaksin dos terkini.

Beliau turut menjelaskan kerajaan sedang meneliti pelbagai kajian berhubung kesan jangka panjang vaksin, dan perkara itu juga dibentangkan dalam Kertas Putih Kesihatan termasuk senarai pampasan sekiranya wujud dakwaan kemudaratan akibat vaksin.

 

+ - reset