TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 5 tahun parah, bapa cedera motosikal ditunggang terbabas elak anjing liar di Setiu

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah selepas motosikal ditunggang bapanya terbabas ketika cuba mengelak seekor anjing liar di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu–Kampung Raja berhampiran Kampung Penarik, Setiu, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Mohammad Ayaaz Sabeer yang duduk di bahagian hadapan motosikal tercampak ke atas jalan sebelum berlaku pelanggaran dengan anjing berkenaan.

Bapanya, Mohd Suhaimi Mohd Zain, 38, berkata mereka dalam perjalanan ke Pasti Al-Syifa sebelum insiden itu berlaku.

“Anjing liar itu meluru ke arah motosikal saya dan ketika cuba mengelak, motosikal terbabas lalu anak tercampak ke atas jalan.

"Sekarang dia dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurut Mohd Suhaimi yang juga kakitangan Pejabat Daerah Setiu, pemeriksaan pakar mendapati anaknya mengalami luka sepanjang dua inci di kepala, kecederaan pada kening, dahi serta keretakan tulang pipi berdasarkan imbasan CT scan.

“Pakar mata, gigi dan kulit sudah jalankan pemeriksaan, malah doktor pakar maklumkan pembedahan perlu dilakukan.

"Mujur saya hanya cedera di tangan, namun anak saya cedera agak serius dan mungkin perlu dijahit di beberapa bahagian,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan kerana masalah anjing liar di kawasan Setiu, khususnya sekitar pantai, semakin meresahkan penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian yang disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

“Akibat insiden itu, motosikal ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial selepas dimuat naik oleh Yang Dipertua Pas Setiu, Zul Bhari A Rahman, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan akibat anjing liar.

 

+ - reset