TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Juruelektrik didakwa sebat anak tiri dengan batang paip PVC sebab hisap vape

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 21 Ogos - Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap tiga anak lelaki tirinya berusia antara 15 hingga 19 tahun menggunakan sebatang paip polivinil klorida (PVC), minggu lalu.

Menurut laporan Kosmo Online, tertuduh, M. Satiskumar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim N. Kanageswari di dua kamar berasingan.

Mengikut pertuduhan, Satiskumar didakwa dengan sengaja mencederakan tiga anak tirinya menggunakan sebatang paip PVC yang boleh dianggap sebagai senjata berbahaya sekiranya digunakan untuk menyerang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi, 15 Ogos lalu di sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, isteri tertuduh, R. Tharani, 39, seorang suri rumah, turut didakwa mencederakan anak lelakinya berusia 16 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Pertuduhan terhadap Tharani juga dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni dan Siti Khairiah Abdul Razak masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Ketika prosiding, Satiskumar mempertahankan tindakannya dengan mendakwa anak tirinya sebelum ini ditegur kerana menghisap vape namun enggan mendengar nasihat.

+ - reset