TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM anggap 1MDB kes paling kompleks dalam sejarah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kes paling kompleks dalam sejarah siasatan kewangan negara.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, siasatan itu membabitkan aliran berbilion ringgit ke pelbagai negara melalui struktur kewangan antarabangsa, syarikat proksi dan rangkaian perantara.

Beliau menegaskan kejayaan Malaysia memulihkan aset 1MDB bukan sahaja pencapaian besar negara, malah menjadi bukti kepada komuniti antarabangsa bahawa kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa kewangan dan kerajaan asing adalah kunci mengekang jenayah kewangan global.

“Skandal berskala besar seperti 1MDB membuktikan bahawa jenayah kewangan tidak mengenal sempadan. Keupayaan berkongsi maklumat, memperkukuh jaringan siasatan rentas negara dan mengoptimumkan mekanisme undang-undang antarabangsa menjadi teras kejayaan pemulihan aset,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zamri sebelum itu membentangkan topik Pemulihan Aset dalam Kes Pengubahan Wang Haram: Kajian Kes Skandal 1MDB di The Westin Hotel Kuala Lumpur sempena ACFE Fraud Conference Asia-Pacific 2025.

Beliau berkata, sesi tersebut memberi tumpuan kepada cabaran pemulihan aset rentas sempadan termasuk peranan Mutual Legal Assistance (MLA), strategi siasatan kewangan SPRM serta diplomasi perundangan yang membantu Malaysia mengembalikan sebahagian besar dana diseleweng.

Persidangan anjuran Association of Certified Fraud Examiners (ACFE) itu menghimpunkan pakar industri, pengamal undang-undang, ahli akademik serta pihak penguatkuasaan dari seluruh dunia bagi membincangkan isu pencegahan, pengesanan dan siasatan jenayah kewangan serta penipuan korporat.

Turut hadir, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Penganjuran acara ini bukan sahaja mengangkat Malaysia sebagai hab perbincangan global dalam memerangi penipuan dan rasuah, malah mengukuhkan reputasi SPRM sebagai agensi penguatkuasaan proaktif di peringkat antarabangsa. - Media Telus

+ - reset