TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jururawat dari Pahang korban terbaru Himpunan RXZ Members terbabas di LPT2

By
|
Kongsi
image

 

HULU TERENGGANU 22 Ogos - Perjalanan seorang jururawat untuk menyertai program Himpunan RXZ Members 7.0 berakhir tragedi apabila motosikal Yamaha RXZ ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu, tengah hari Jumaat.

Mangsa, Roslinawati Ramli, 33, dari Felda Tementi, Pahang, dilaporkan berkonvoi bersama 12 lagi penunggang motosikal dari Simpang Renggam, Johor menuju Kuala Terengganu sebelum kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, nahas berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari rumah sekitar jam 1 pagi menuju ke Kuala Terengganu. Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau memaklumkan motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan selain beberapa kerosakan lain akibat kemalangan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

+ - reset