TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Harga barang turun lepas harga minyak turun? Susah nak cakap' - Rafizi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Penurunan harga petrol RON95 selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan bakar September ini belum tentu memberi kesan segera kepada harga barangan keperluan harian.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, walaupun harga minyak akan turun enam sen, faktor pasaran lain turut mempengaruhi keputusan peniaga untuk menurunkan harga.

“Adakah harga barang akan turun apabila harga minyak turun enam sen bermula September ini? Susah nak cakap. Tiada siapa yang tahu.

“Kita hanya boleh melihat selepas beberapa bulan iaitu menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan bahawa kos barang mentah bukan sahaja dipengaruhi harga minyak, malah bergantung kepada rantaian bekalan.

“Peniaga membeli daripada pemborong, manakala pemborong membeli daripada pembekal pukal atau pengilang. Kecuali harga diturunkan di peringkat pengilang iaitu kos di peringkat huluan, peniaga akan rasa sebarang penurunan harga minyak tidak membawa kesan kepadanya,” katanya.

Beliau menambah, kadar upah pekerja serta kos lain juga memainkan peranan besar, justeru pengawalan harga memerlukan kerjasama kerajaan, peniaga dan pengguna.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada kenaikan mendadak harga bahan asas yang berterusan dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan.

“Pengguna bertanggungjawab membeli barang dan perkhidmatan memberi nilai terbaik pada harga berpatutan. Peniaga memanipulasi pengguna dengan harga melampau wajar dihindari,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, cabaran besar tetap wujud kerana negara masih belum mengamalkan ketelusan harga dalam urus niaga harian.

“Ketelusan harga satu bidang dasar yang saya akan berikan tumpuan supaya Malaysia bergerak lebih cepat untuk menggalakkan amalan harga yang telus dalam ekonomi kita,” katanya.

+ - reset