TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengasuh menangis panggil ibu selepas didakwa sebabkan kematian bayi 7 bulan di taska

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Sesyen di sini apabila seorang pengasuh menangis sambil memanggil ibunya selepas didakwa atas pertuduhan gagal mengawasi sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska, Mei lalu.

Tertuduh, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, dilihat sebak apabila dimaklumkan akan ditahan reman melainkan membayar ikat jamin RM20,000.

Dia yang memakai jubah kuning kemudian ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum dibawa ke lokap selepas prosiding di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Semasa prosiding, tertuduh yang masih bujang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak membuat persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan berpatutan sehingga menyebabkan kematian bayi Muammar Aidil, tujuh bulan sembilan hari, di sebuah taska di Wangsa Maju pada jam 11.08 pagi, 26 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip tidak mencadangkan ikat jamin dengan alasan kes berkenaan serius kerana melibatkan kematian bayi.

“Bagaimanapun, jika mahkamah berhasrat memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan ia ditetapkan pada kadar tinggi, iaitu RM30,000. Ia termasuk syarat tambahan, melapor diri di balai polis sekali setiap sebulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Nor Fatihah yang tidak diwakili peguam pula merayu diberikan jaminan lebih rendah dengan alasan keluarganya tidak berkemampuan.

“Saya akan berkahwin hujung tahun ini malah perlu menanggung ibu dan adik termasuk bapa kandung yang sakit saraf di kampung,” katanya.

Selepas meneliti permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September depan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bayi ditemukan tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama.

Pada 28 Mei lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati punca kematian bayi tersebut dipercayai akibat tercekik makanan dan susu.

 

+ - reset