TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pecutan SPM 2024 bukti kejayaan awal Program Anak Kita selepas setahun dilaksana - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos  – Setahun selepas diperkenalkan, Program Anak Kita yang dilaksanakan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) kini menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa sasaran awal berjaya dicapai.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dapatan separuh penggal yang dibentangkan pada Bengkel Separuh Penggal Program Anak Kita semalam membuktikan program itu berada di landasan tepat untuk mencapai matlamat utamanya, termasuk meningkatkan literasi, numerasi serta pencapaian murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Berdasarkan dapatan separuh penggal, saya optimis Program Anak Kita kini berada pada landasan tepat untuk mencapai matlamatnya. Sebagai contoh, kita telah berjaya mengatasi beberapa sasaran awal yang ditetapkan termasuk menerusi pelaksanaan Program Pecutan SPM 2024,” katanya.

Menurut beliau, bengkel berkenaan turut memberi ruang untuk membincangkan prestasi semasa program, refleksi dan cadangan penambahbaikan dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi sepanjang pelaksanaan.

Katanya, kekuatan utama program itu terletak pada jalinan kerjasama strategik merentasi pelbagai pihak termasuk Yayasan Hasanah, Unit Pantau MADANI, universiti awam dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

“Pentadbir sekolah, guru, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), bahagian KPM dan ibu bapa turut memainkan peranan penting. Komitmen dan usaha gigih semua pihak amat membanggakan. Semuanya dilakukan demi manfaat anak-anak kita. Benarlah pepatah, it takes a village to raise a child,” katanya.

Program Anak Kita diperkenalkan tahun lalu sebagai ikhtiar Kerajaan MADANI untuk menangani isu keciciran pembelajaran, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi serta memperkukuh prestasi akademik pelajar, khususnya calon SPM. - Media Telus

+ - reset