TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

25 penumpang cemas bas ekspres berlanggar treler di Lebuhraya PLUS

By
|
Kongsi
image

TANGKAK 23 Ogos - Suasana cemas menyelubungi 25 penumpang sebuah bas ekspres apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 152.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi Sabtu.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II (KUP) Kaib Dawan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.24 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba jam 11.43 pagi, didapati sebuah bas membawa 26 penumpang termasuk pemandu berlanggar dengan sebuah treler. Anggota bomba bertindak membuka pintu bas untuk mengeluarkan semua penumpang.

“Tiada mangsa tersepit, namun dua penumpang mengalami kecederaan ringan manakala pemandu serta kelindan treler tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi sejauh 18 kilometer dari balai.

Katanya lagi, pasukan EMRS bersama pegawai perubatan memberi rawatan awal kepada penumpang yang cedera sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari.

 

+ - reset