TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes Jalur Gemilang terbalik jangan diperbesarkan jika tak sengaja – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

 

BANDAR BAHARU 23 Ogos – Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang terbukti dilakukan tanpa niat tidak wajar dijadikan isu besar sehingga menimbulkan ketakutan kepada rakyat untuk mengibarkan bendera negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan polis hanya akan mengambil tindakan jika terbukti ia dilakukan secara sengaja untuk mempersenda atau mencetuskan keresahan masyarakat.

“Dalam proses siasatan, kita akan tentukan sama ada kesilapan itu disengajakan dengan niat tertentu ataupun sekadar khilaf. Jika ada bukti ia disengajakan, maka tindakan akan diambil mengikut undang-undang, tetapi jika terbukti tidak, kita tidak mahu perkara itu diperbesar,” katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan boleh diambil mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Kesalahan Kecil 1955 jika terdapat laporan mengenai perbuatan sengaja mengibarkan bendera secara terbalik.

Katanya, pemasangan Jalur Gemilang terutama pada bulan kemerdekaan merupakan lambang semangat patriotisme yang perlu dipupuk dalam diri setiap rakyat.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut memaklumkan polis bersedia membuka semula kertas siasatan berhubung kes kematian pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

“Kita bersedia untuk melihat kembali kes ini dengan membawa semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara. Seperti kes adik Zara (Qairina Mahathir), prinsip yang digunakan ialah mencari kebenaran dan menegakkan keadilan berpandukan undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini. – Bernama

 

+ - reset