TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM tambah lagi peruntukan RM200,000 untuk Himpunan RXZ Members 7.0

By
|
Kongsi
image

 

KUALA NERUS 23 Ogos – Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, menerima suntikan semangat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan berjumlah RM300,000.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata sumbangan itu terdiri daripada RM100,000 daripada Perdana Menteri sendiri, manakala baki RM200,000 hasil sokongan syarikat, korporat dan ahli perniagaan.

“Tambahan RM200,000 lagi merupakan hasil usaha beliau dengan mendapatkan sokongan daripada pihak swasta. Kita harap bantuan kewangan ini dapat menyuntik semangat kepada penganjur untuk terus mengadakan program sebegini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian acara berkenaan pada Sabtu.

Menurut Shamsul Iskandar, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam perjalanan ke himpunan tersebut serta berpesan agar semua peserta berhati-hati ketika pulang nanti.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri diketepikan, beliau menegaskan program itu adalah anjuran pihak persendirian dan bukan acara rasmi kerajaan.

“Program ini diadakan setiap tahun dan penganjur memohon pertimbangan daripada Perdana Menteri. Apabila Perdana Menteri melihat program ini menyatukan rakyat dari seluruh negara, beliau mahu memberi semangat kepada anak muda yang menganjurkan. Jadi jangan sempitkan pemikiran dengan mengaitkan perkara ini dengan politik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak peserta RXZ Members 7.0 untuk menghadiri program solidariti Gaza di Dataran Merdeka pada Ahad, jam 8 malam.

 

+ - reset